Friday, September 28, 2007

JAIS HARAMKAN WAHABI

ImageImage
ImageImage
ImageImage
ImageImage
ImageImage


SELASA, 11 September 2007
- Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor telah menganjurkan Program Bicara Isu Semasa kali ke 2 yang bertempat di Dewan Annex, SUK Shah Alam. Program kali ini diadakan khas untuk guru-guru sekolah JAIS seluruh Negeri Selangor. Majlis penangguhan program telah disempurnakan oleh Y. B. Dato' Hj. Abdul Rahman Bin Palil, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor. Sebanyak dua kertas kerja telah dibentangkan pagi ini oleh dua orang penceramah khas iaitu Yang Berbahagia Ustaz Mohd Rasyiq Bin Mohd Alwi dari Institut Pengajian Darul Hijrah dan Ustaz Rasyidi Jamil Bin Muhammad Arrashid, Penolong Pengarah Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM).

Kertas kerja pertama bertajuk Ahli Sunnah Wal Jama'ah telah dibentangkan oleh Ustaz Mohd Rasyiq Bin Mohd Alwi, Pensyarah di Institut Pengajian Darul Hijrah. Ancaman dan penentangan terhadap Ahli Sunnah Wal Jama'ah yang sebenar datang dari pelbagai sudut termasuk wuudnya ajaran-ajaran songsang, aliran-aliran baru yang menyimpang , keganasan yang terkeluar dari erti jihad, isu murtad dan sebagainya. Ini juga termasuklah golongan yang mengizharkan mereka bukan Islam seperti Yahudi dan Kristian mahupun golongan yang mendakwa sebagai Islam seperti puak Syiah, Wahhabiyah, Hizbu Tahrir, Ikhwanjiyyah(Khawarij), Islam Liberal, Sister In Islam dan banyak lagi. Ini merupakan ujian Allah terhadap mereka yang berpegang dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah di zaman kini supaya memperjuangkan sunnah (aqidah dan syariat). Ini berdasarkan hadith Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi yang bermaksud:"Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku(aqidah dan syariatku) ketika rosaknya ummat ku, maka baginya pahala syahid" .

Di antara fahaman yang dikupas adalah Fahaman Wahhabiyyah iaitu ajaran yang diasaskan oleh Muhammad Bin Abdul Wahhab 1206H yang mendorong pengikutnya mengkafirkan umat Islam dan menghalalkan darah mereka . Saudara kandungnya Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab sering memberi peringatan kepada umat Islam di zamannya agar tidak mengikut ajaran baru Muhammad bin Abdul Wahhab kerana ajaran itu menghina ulama' Islam serta mengkafirkan umat Islam. Bapanya juga iaitu Abdul Wahhab turut memarahi anaknya iaitu Muhammad kerana enggan mempelajari ilmu Islam dan beliau menyatakan kepada para ulama': " Kamu semua akan melihat keburukan yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab ini"-(AS- suhubul Wabilah 'Ala Dhoroihil Hanabilah cetakan Maktabah Imam Ahmad : ms 275). Menurut Mufti Mazhab Syafi'e Ahmad bin Zaini Dahlan 1304H yang merupakan tokoh ulama' Mekah pada zaman Sultan Abdul Hamid menyatakan dalam kitabnya Ad-Durarus Saniyyah Fir Roddi 'Alaf Wahhabiyah halaman 42: " Wahhabiyah merupakan golongan pertama yang mengkafirkan umat Islam 600 tahun sebelum mereka dan Muhammad bin Abdul Wahhab berkata: Aku membawa kepada kamu semua agama yang baru dan manusia selain pengikutku adalah kafir musyrik." Wahhabi bukan sahaja mengkafirkan umat Islam dan menghalalkan darah mereka tetapi turut membid'ahkan dan menghukum aqidah ulama' Islam sebagai terkeluar daripada Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.

Fahaman ini menjadi kewajipan kepada ulama' untuk membongkar dan memperjelaskan memandangkan ramai orang Islam yang terkeliru dengan propaganda aliran ini. Aliran ini bertunjangkan kepada pemikiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim Al-Khariji(al-Jauzi) pada kurun ke tujuh hijrah. Aliran ini membawa konsep Bid'ah yang bercanggah dengan Jumhur Ulama'. Aliran ini membawa percanggahan dalam permasalahan aqidah iaitu:
1. Membawa Qaedah tauhid “Tiga T” yang tidak pernah wujud di dalam sejarah Ahlus Sunnah Wa al-Jama‘ah.
2. Membawa fahaman “Tajsim dan Tasybih”.
3. Menolak Sifat Dua Puluh.
4. Menghukum Syirik amalan tawassul, tabarruq, ziarah qubur dan isthtighathah.
5. Mengkafirkan ramai Ulama’-Ulama’ yang diperakui kebenarannya di antaranya Imam Abu Hassan al-Asy‘ari, perumus aliran Ahlus
Sunnah Wa al-Jama‘ah.
6. Mengelirukan faham Takwil , Ta‘til dan Tafwid.
7. Mendakwa dari golongan salaf.
8. Menta‘zimkan Nabi s.a.w membawa kepada syirik.
Terdapat juga percanggahan dalam furu' iaitu:
1. Menganggap talqin sebagai bid‘ah.
2. Mengganggap amalan tahlil, yasin bagi kenduri arwah sebagai bid‘ah yang haram.
3. Menganggap qunut Subuh sebagai bid‘ah.
4. Tidak ada qada’ bagi solat yang sengaja ditinggalkan.
5. Menggangap lafaz sayyiduna (taswid) dalam solat sebagai bid’ah.
6. Menggerak-gerakkan jari sewaktu tahiyyat awal dan akhir.
7. Menggangap doa beramai-ramai selepas solat sebagai bid’ah sesat.
8. Menyatakan bahawa doa, zikir dan selawat yang tidak ada dalam al-Quran dan Hadis sebagai bid’ah. Menganggap amalan bacaan Yasin pada malam Jumaat sebagai bid’ah yang haram.
9. Mengatakan bahawa sedekah pahala tidak sampai.
10. Menolak sambutan mawlid nabi; bahkan menolak cuti sempena hari Mawlid Nabi; bahkan yang lebih teruk lagi menyamakan sambutan mawlud nabi dengan perayaan Kristian bagi nabi Isa a.s.
11. Menolak amalan barzanji/marhaban/berdiri sewaktu selawat. Sufiyyah dianggap sebagai terkesan dengan ajaran Budha dan Nasrani. Sebahagian ulama’ mereka menyeru agar Maqam Rasulullah s.a.w dikeluarkan dari masjid nabawi atas alasan menjauhkan umat Islam dari syirik.
12. Menganggap amalan menziarahi maqam Rasulullah s.a.w, para anbiya’, awliya’, ulama’ dan solihin sebagai bid‘ah. Sering mengkritik aliran Sufi dan kitab-kitab Sufi yang mu‘tabar.

Kertas Kerja kedua pula bertajuk 'Ancaman Kristianisasi: Apakah tanggungjawab anda?' yang disampaikan oleh Ustaz Rashidy Jamil Bin Muhammad Arrashid dari JAKIM. Beliau memberi pendedahan serta penjelasan tentang yahudi dan kristian yang tidak pernah redha kepada muslim sampai bila-bila. Menurut Ilmu Geneologi(Salasilah/Keturunan) Nabi Ibrahim a.s adalah bapa kepada 3 agama iaitu Islam, Yahudi dan Kristian. Kehadiran Nabi Muhammad S.A.W telah disebut dalam kitab Taurat lagi. Beliau memjelaskan bagaimana nama Muhammad telah dihilangkan daripada kitab asal kepada beberapa versi tafsiran Taurat bahasa lain. Kaum Yahudi dan Kristian tidak menerima Nabi Muhammad s.a.w kerana baginda lahir dari Bani Ismail. Beliau turut menjelaskan kenapa Ismail tidak diterima dan hanya Ishak dianggap sebagai anak tunggal Ibrahim. Mereka mempercayai bahawa Ismail bukanlah anak Nabi Ibrahim yang sah. Disebut dalam kitab mereka bahawa Siti Hajar adalah wanita simpanan Nabi Ibrahim dan Ismail adalah anak zina. Adakah logik dan wajar kita percaya bahawa seorang nabi berzina? Di dalam ajaran Islam, kita mempercayai bahawa para nabi merupakan manusia terpilih yang memiliki keistimewaan dan darjat yang tinggi. Islam juga percaya bahawa Ibrahim mempunyai dua orang isteri iaitu Siti Sarah dan Siti Hajar. Terdapat banyak percanggahan tafsiran dalam versi-versi berlainan kitab mereka. Kini terdapat tafsiran baru di dalam versi Bahasa Melayu yang dinamakan 'Al-Kitab : Berita Baik'. Umat Islam di Malaysia haruslah berwaspada kerana mereka tidak akan berhenti berusaha untuk memurtadkan umat Islam. Kini dakyah mereka semakin berleluasa di Malaysia, dan telah wujud paderi Melayu pertama wujud di Malaysia. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menguasai dan mendalami Islam, menguatkan aqidah dan meningkatkan keimanan kepada Allah. Umat Islam harus lebih bersedia, berwaspada dan berusaha mengatasi ancaman tersebut demi Agama Islam.*

1 comment:

Anonymous said...

alahh.. kalau jais haramkan sekali si Asri kan bagus.