Tuesday, August 21, 2007

Apa kata Mufti Johor tentang mereka yang Menjisimkan Allah

Sudah terang hina Islam


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/35388/Article/index_html
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

KUALA LUMPUR: Isu penayangan filem Evan Almighty kepada orang ramai tidak perlu dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan kerana ia sudah jelas melanggar hukum fatwa berikutan filem itu mempersendakan Tuhan dan kisah Nabi Nuh.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata tayangan filem lakonan Steve Carell dan Morgan Freeman itu tidak perlu menunggu keputusan majlis berkenaan sebagaimana disuarakan Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF), Datuk Mohd Hussain Syafie kerana ia sudah jelas menghina agama Islam.

"Perkara seperti ini tidak memerlukan keputusan Majlis Fatwa kerana sudah cukup jelas dalam hukum fatwa.

"Malah majlis itu hanya perlu dirujuk bagi perkara baru atau perkara yang tidak jelas hukumnya," katanya ketika dihubungi, semalam.




Menurut Mohd Tamyes, menunggu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan arahan selanjutnya bukanlah tindakan yang bijak kerana majlis berkenaan hanya akan bersidang pada 6 September depan.




"Penganjur tidak seharusnya menayangkan filem sebegini kerana ia jelas menunjukkan unsur penghinaan terhadap agama Islam, sekali gus boleh memecahbelahkan perpaduan di negara ini.

"Sepatutnya, mereka mengambil iktibar daripada perbalahan yang berlaku di negara luar berikutan perselisihan membabitkan budaya dan agama," katanya.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan, keputusan LPF untuk terus mengekalkan penayangan filem Evan Almighty yang sudah memasuki pawagam sejak Khamis lalu walaupun mendapat bantahan keras beberapa mufti dan ulama berikutan filem itu didakwa jelas menghina Nabi Nuh serta mempersendakan Tuhan yang digambarkan muncul dalam bentuk manusia.

Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, berkata beliau membantah tayangan filem berkenaan sekeras-kerasnya berikutan penerbitnya menggambarkan Tuhan dalam bentuk berjisim selain menyelitkan kisah bahtera Nabi Nuh dalam bentuk komedi.

"Dari segi agama, budaya dan sensitiviti umat Islam, filem ini sepatutnya disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia.

"Ia bukan saja melampaui batas agama, malah boleh memesongkan akidah serta menyesatkan umat Islam," katanya.

Menurut Nooh, Tuhan tidak sepatutnya ditonjolkan dalam bentuk berjisim atau 'dirupakan' sebagai manusia.

Manakala nabi pula tidak boleh digambarkan sebagai manusia lain kerana bersifat maksum iaitu terpelihara daripada sifat mungkar.

"Itu adalah sebab yang jelas untuk melarang penayangan filem berkenaan. Ia bukan saja menyentuh sensitiviti agama tetapi boleh meruntuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini.

"Tidak wujud soal khayalan atau rekaan semata-mata kerana soal agama bukan isu yang boleh digambarkan sesuka hati atau mengikut kreativiti individu," katanya.

Nooh berkata, apa yang lebih membimbangkan, adalah kesan terhadap umat Islam yang menonton filem berkenaan.

"Mereka yang melaburkan wang untuk menonton Evan Almighty boleh dikira sebagai bersubahat kerana menyokong perkembangan filem berkenaan.

"Malah jika mereka mengiakan setiap fakta dalam filem berkenaan secara sengaja atau tidak, secara tidak langsung, mereka tergolong dalam golongan murtad kufur," katanya.

No comments: